Monday, December 15, 2008

TEKS UCAPAN YB MENTERI PELAJARAN MALAYSIA

TEKS UCAPAN
YB MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
YB DATO’ SERI HISHAMMUDDIN BIN TUN HUSSEIN
MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN KONVENSYEN PENDIDIKAN GURU
DI INTAN BUKIT KIARA, KUALA LUMPUR
29 NOVEMBER 2008


Allhamdulillah, terlebih dahulu saya merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dapat hadir dan bersua muka dengan tuan-tuan dan puan-puan sekalian, terutamanya The Kirkbyites dalam konvensyen ini.

Pertamanya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur Konvensyen Pendidikan Guru khasnya Y.Bhg Tan Sri Dato’ Dr Yahaya Ibrahim, Presiden Persatuan Alumni Maktab Kirkby Malaysia, yang telah sudi menjemput saya untuk menyampaikan ucaptama dan seterusnya merasmikan Konvensyen pada pagi ini.

Seperti yang saya telah janjikan kepada Tan Sri dahulu, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia memberi sokongan sepenuhnya kepada majlis ini dengan membantu dari segi penajaan kewangan dan tampil sebagai penganjur bersama antara Persatuan Alumni Maktab Kirkby, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang diwakili UPSI, dan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa).

Saya dimaklumkan bahawa beberapa Bahagian Kementerian Pelajaran Malaysia telah terlibat dalam konvensyen ini, iaitu Bahagian Pendidikan Guru, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster, Bahagian Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, Bahagian Teknologi Pendidikan, dan Bahagian Hal Ehwal Korporat.

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Institut Tadbiran Awam Negara, Malaysia (INTAN), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Muzium Pendidikan Nasional, UPSI, Muzium Negara Malaysia atas kerjasama dalam menjayakan “Kirkby College Grand Reunion and Convention 2008”.

Saya difahamkan petang semalam pelancaran buku "Kirkby College - The Heritage" dan Pameran Maktab Kirkby telah dirasmikan oleh YB Timbalan Menteri KeKKWa.

Sokongan Kementerian dan juga saya sebagai Menteri Pelajaran secara peribadi, membuktikan komitmen kerajaan terhadap bidang pelajaran dan khasnya pendidikan guru. Saya berharap melalui konvensyen ini yang melibatkan dua orang tokoh pendidikan yang berpengalaman luas dalam bidang perguruan pada peringkat antarabangsa iaitu Prof. Diana Burton dan Prof. Datuk Dr Ibrahim Ahmad Bajunid, memungkinkan kita menimba ilmu baharu yang dapat dijadikan input bagi melakukan penambahbaikan dalam usaha meningkatkan lagi mutu pendidikan dan latihan guru di negara kita, supaya setanding dengan mutu latihan guru di negara-negara maju.

Seperkara yang saya ingin sebutkan di sini, ialah, Kementerian Pelajaran amat mengalu-alukan penglibatan pelbagai Persatuan Alumni Sekolah dan Maktab, contohnya Persatuan Alumni Maktab Kirkby ini, dalam membantu kementerian meningkatkan lagi khidmat kepada rakyat dengan lebih berkesan atau “efficient delivery of education services”. Jika di sekolah rendah dan menengah kita bekerjasama dengan PIBG manakala di peringkat maktab dan universiti, Persatuan Alumni perlu tampil sebagai pihak yang berkepentingan atau “stake-holder”, memantau perjalanan dan mengesan masalah serta memberi cadangan-cadangan atau jalan penyelesaian untuk memantapkan lagi kualiti perkhidmatan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Sejarah Maktab Kirkby

Menyorot sejarah, 57 tahun dahulu sebuah kem tentera British di Kirkby, England, telah digunakan untuk melatih guru yang dikenali sebagai Maktab Kirkby. Seramai 149 guru pelatih kumpulan pertama telah dihantar ke Maktab Kirkby bagi mengikuti latihan perguruan selama dua tahun. Guru pelatih tersebut terdiri daripada 65 orang perempuan dan 84 orang lelaki yang berumur antara 19 hingga 20 tahun telah tiba di Maktab Kirkby pada 2 Januari 1952. Mereka diwajibkan untuk mengikuti latihan amali di sekolah-sekolah yang berdekatan dengan maktab tersebut.

Maktab Kirkby merupakan kolej pertama yang ditubuhkan pada tahun 1951 bagi melahirkan guru-guru terlatih untuk mengajar di sekolah-sekolah yang menggunakan bahasa pengantar Bahasa Inggeris sekembalinya mereka ke Tanah Melayu.

Maktab tersebut ditubuhkan hasil daripada Laporan Barnes yang memperuntukkan bahawa kanak-kanak yang berumur 7 hingga 12 tahun diwajibkan bersekolah dan tidak dikenakan sebarang bayaran. Hal ini menyebabkan kemudahan latihan perguruan tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan guru-guru terlatih. Pada masa yang sama, perancangan telah dibuat untuk menubuhkan tiga buah Pusat Latihan Guru di Kota Bharu (1954), Brinsford Lodge, United Kingdom (1955), dan Pulau Pinang (1955).

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

The Kirkby Teachers’ Training College is unique in the history of education because “...for the first time the government of a country had established in a far-off land a teachers’ college for its own students. Never before had any government in the world set up its own college in Britain..”

An extract from the Annual Report of Education in the Federation of Malaya 1951 described the establishment of Kirkby College as:

“One of the most important events of the year - the taking over by the Government of the Federation of the Teachers’ Training College at Kirkby, Lancashire, for the training of Malayan teachers. This unique educational experiment aroused world-wide interest and revealed the existence in the United Kingdom of an enormous fund of goodwill towards the teachers and pupils of this country. One can think of few things more beneficial for Malayan Primary Schools than the regular periodic blood transfusion of a group of teacherss whose spirit and minds have been expanded by travel and whose professional skill has been developed and disciplined in the first class Training College”

Maka, Konvensyen Pendidikan ini dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-57 penubuhan Maktab Kirkby, England. Saya berasa sangat bertuah kerana kumpulan pertama lepasan Kirkby hadir bersama kita di dewan ini. Antara individu daripada kumpulan pertama (1952-1953) yang hadir ialah Toh Puan Zainab Baharuddin, dan Dato’ Haji Baharuddin bin Marji dan isteri, Datin Morjianah yang juga daripada kumpulan pertama. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih atas sumbangan mereka yang menjadi perintis dalam pendidikan guru di tanah air.

Amat membanggakan kerana kumpulan pertama ini dan kumpulan seterusnya terdiri daripada pelbagai bangsa, iaitu Melayu, Cina, India, dan Sikh. Mereka menjalani kehidupan di sana dalam satu ikatan keluarga bangsa Malaysia tanpa mengira kedudukan, agama, dan keturunan. Malah ada yang menjalinkan ikatan perkahwinan seperti Dato’ Haji Baharuddin dan isteri.

Ladies dan Gentlemen,

Pengiktirafan Lepasan Maktab Kirkby

This reunion is a celebration that affords us the opportunity to view, in historical perspective, the unique role Kirkby has played not only in building the true spirit of espirit-de-corps’ but, also, in the major contribution it has made to the cause of education in Malaysia. ‘Kampung Kirkby’ was then a truly united Malayan nation in microcosm, a forerunner, a model indeed, the precursor of the “Bangsa Malaysia” envisaged by Vision 2020. This was more than half a century ago!

You Kirkbytes were pioneers in more ways than one. In fact, the younger generation may not know that it was in Kirkby that our first Prime Minister Al-Marhum YTM Tunku Abd Rahman Putra Al-Haj made the historic announcement of Malaysia’s independence. The Kirkby students were the first Malaysians to know that Malaya was to get independence on 31st August 1957 because Tunku felt that it is “the teachers that will be spearheading the development of education in the new Malaya”.

Untuk makluman para hadirin akhbar Liverpool Daily Post, pada 8 Februari 1956 menjadikan berita ini bahan muka depannya.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Pengiktirafan Prof. D.G.E. Hall dari Universiti London ketika beliau menjadi pemeriksa luar bagi mata pelajaran Sejarah di Kolej dan Universiti Malaya di Singapura kepada guru-guru lepasan Maktab Kirkby merupakan satu lagi penghormatan dan penghargaan kepada kita semua.

“The best student in Kirkby is equal to the best from the University of Malaya.”

“If you can teach the children in Liverpool schools, you’ll have no problem teaching anywhere else in the world.”

Antara tahun 1952 - 1962, sejumlah 1,500 guru pelatih (trainee teachers) dan 405 Pelatih Guru (Teachers Trainers) telah menerima latihan di Maktab Kirkby. The ‘Kirkbyites’ (guru lepasan maktab Kirkby) ini dimaklumkan telah memperoleh kejayaan dalam bidang masing-masing sehingga memegang jawatan Pengetua sekolah, Pensyarah, Professor Universiti dan Pegawai Kanan Pelajaran di Kementerian Pelajaran sebelum bersara. Malah ramai antara mereka telah melanjutkan pelajaran ke peringkat Ph.D dan ada yang dianugerahkan gelaran Tan Sri dan Datuk dan mendapat pelbagai anugerah atas kecemerlangan mereka. Walaupun sebilangan mereka ini telah meninggalkan lapangan perguruan untuk menceburi bidang perundangan, perubatan, perniagaan dan perkhidmatan awam, namun pada hemat saya ramai yang hadir hari ini amat berbangga dengan kerjaya mereka sebagai guru.

Maka, adalah menjadi harapan saya dan Kementerian Pelajaran, terutamanya Bahagian Pendidikan Guru agar penghargaan yang diberikan kepada ‘Kirkbyites’ pada hari ini akan diterima juga oleh guru-guru lepasan semua Institut Perguruan kita. Semoga guru-guru lepasan Institut Perguruan kita yang mengikuti pelbagai program Kursus Praperkhidmatan mahupun Kursus Dalam Perkhidmatan yang ditawarkan di 27 IPG akan menerima pengiktirafan sebegini sebagaimana yang diterima oleh lepasan Maktab Kirkby daripada masyarakat umum. Semoga guru-guru dahulu dan kini akan terus memainkan peranan dalam membentuk generasi bangsa yang berwawasan pada masa hadapan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Kesungguhan kerajaan dalam melahirkan guru-guru terlatih semenjak penubuhan Maktab Kirkby menunjukkan keperihatinan dan komitmen kerajaan untuk memperkasakan bidang perguruan dan pendidikan negara selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan. Oleh itu, kita seharusnya berasa bangga kerana kerajaan sentiasa mengutamakan aspek pendidikan yang merupakan kunci kepada peningkatan taraf hidup, pembangunan sumber manusia dan reformasi sosial negara.

Kepentingan polisi ini telah disarankan oleh Perdana Menteri kita yang pertama, YTM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj. Beliau telah menyatakan bahawa keutamaan kerajaannya adalah “books rather than bullets, school uniform rather than military uniforms, and schools over military camps”.(Ucapan Tuanku pada 9 Ogos 1963)

Kejayaan kita pada hari ini ialah usaha yang berterusan untuk membangunkan sistem pelajaran yang kompetetif. Tidak keterlaluan jika kita menganggap bahawa guru lepasan Maktab Kirkby telah berjaya membanggakan bangsa dan tanah air dan akan sentiasa menjadi sumber aspirasi kepada para pendidik masa kini untuk mengekalkannya.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Guru sebagai Pemimpin Masyarakat

Sudah menjadi tanggungjawab guru-guru kini untuk menyerlah sebagai pemimpin masyarakat. Jika pada suatu masa dahulu, guru bukan sahaja menjadi pemimpin di sekolah dan di luar sekolah, malah guru juga berperanan dengan menjadi pemimpin masyarakat seperti pemimpin politik, pemimpin pertubuhan belia, pemimpin koperasi dan sebagainya. Maka, pada Abad Ke-21 ini, guru perlu menjadi katalis atau agen pembangunan, guru dan pensyarah hendaklah kembali aktif ke pangkuan masyarakat dan melibatkan diri dalam pelbagai program sosial dan kemasyarakatan. Guru perlu berperanan sebagai reformis sosial yang penting kepada masyarakat membangun. Idealisme guru harus dipugarkan kembali kerana kekuatan idealisme yang berteraskan pendidikanlah yang akan membentuk guru sebagai pemimpin masyarakat dan memberi kepimpinan pada masa depan (to provide leadership) kepada generasi muda.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Menyemai Nilai Diskriminatif Positif dan Kebijaksanaan

Sistem pelajaran dan guru sewajarnya bukan sahaja sebagai agen penyampai ilmu dan maklumat yang merubah fikiran dan sikap (transmit knowledge, attitude and skills) tetapi juga sebagai penyebar nilai-nilai diskriminatif, membezakan mana satu yang baik dan mana satu yang buruk dan kebijaksanaan (wisdom) serta membolehkan pelajar membuat pilihan yang bijak melalui diskriminasi positif, mengenal yang mana satu permata dan yang mana satu kaca. Menurut Daniel Bell dalam bukunya “The Future Of Technology”.

“Wisdom involves an intuitive understanding of things, it involves comprehension of what is perennial in human nature, and it involves moral and ethical judgments. These are not given within the framework of data-information-knowledge, which is in the realm of the instrumental, whereas wisdom is in the realm of values and morality”

Pengarah Pelajaran yang pertama, Encik Aminuddin Baki, pada tahun 1961 ada menekankan kepentingan mata pelajaran Sejarah dalam kurikulum sekolah:

“…history is conducive towards inculcating good citizenship… in discriminating between distinguished and selfish people, between heroism and cowardice… and it is important for us to introduce our children to their heritage, both national and international”.

Dan apabila kita melihat kembali sejarah penubuhan Maktab Kirkby, ia sebenarnya adalah satu kesinambungan kepada kecemerlangan profesion keguruan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Kesimpulan

Pihak Kementerian Pelajaran sangat berbesar hati kerana dapat bersama-sama dalam menganjurkan konvensyen yang penuh bermakna ini. Saya juga telah dimaklumkan bahawa satu majlis pelancaran buku “Kirkby College - A Heritage” dan pameran gambar Maktab Kirkby telah dirasmikan oleh sahabat saya YB Dato’ Seri Haji Shafei Apdal, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan semalam.

Ladies dan Gentlemen,

To Kirkbyites - I hope this occasion will enable you to recapture the spirit of Kirkby that meant so much to you. Thank you especially those who have come from afar.

Akhir kata saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Bahagian Pendidikan Guru, selaku Penyelaras bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris, Alumni Maktab Kirkby dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan konvensyen ini. Saya berdoa semoga segala usaha murni ini diberkati Allah dan diberikan taufik dan hidayah kepada kita semua.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim dengan ini, saya merasmikan Majlis Konvensyen Pendidikan Guru 2008.

Sekian. Wabillahitaufik walhidayah
wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.

No comments: