Monday, December 15, 2008

UCAPAN YB MENTERI PKKW MELANCARKAN BUKU "KIRKBY COLLEGE - A HERITAGE"

DRAF TEKS UCAPAN
Y.B DATO’ SERI HAJI MOHD SHAFIE BIN HAJI APDAL
MENTERI PERPADUAN, KEBUDAYAAN, KESENIAN DAN WARISAN
SEMPENA PELANCARAN BUKU “KIRKBY COLLEGE – A HERITAGE”
DAN
PERASMIAN MAJLIS PAMERAN BERGAMBAR MAKTAB KIRKBY
DI AUDITORIUM INTAN BUKIT KIARA, KL
PADA 28 NOVEMBER 2008 (JUMAAT) JAM 3.00 PETANG

Assalamualaikum w.b.t dan Selamat Pagi

Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Dr Yahaya Ibrahim, Presiden, Persatuan Alumni Maktab Kirkby Malaysia, Merangkap Pro-Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris serta selaku Pengerusi Bersama Majlis Reunion Kirkby

Yang Berbahagia Dr. Muzahet Masruri, Ketua Setiausaha Kementerian

Yang Berbahagia Prof Dr Zakaria Kasa, Timbalan Naib Canselor UPSI

Yang Dihormati Ketua – Ketua Pengarah Jabatan dan Agensi Kementerian,

Datuk Azman Amin Hassan, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara

Encik Ibrahim Ismail, Ketua Pengarah Jabatan Muzium

Encik Sidek Jamil, Ketua Pengarah Arkib Negara

Encik Raslin Abu Bakar, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara,

Dr Mohamad Najib b. Ahmad Dawa, Ketua Pengarah Balai Seni Lukis Negara

Encik Omar Awang, Rektor ASWARA,

Yang Berbahagia Dr Muhamad bin Hamzah, Pengarah INTAN

Yang Berbahagia Dr Kartini Baharun, Timbalan Pengarah Bhg Pendidikan Guru,

Tuan – tuan dan puan – puan sekalian.

Alhamdulillah, pertama sekali marilah kita bersama-sama melafazkan syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah dan kurnianya maka kita dapat berkumpul bersama-sama dalam satu majlis yang cukup bermakna pada petang ini.

2. Majlis ini cukup bermakna kerana buat pertama sekali sebuah buku yang lengkap mengenai sejarah Maktab Kirkby telah dapat diterbitkan oleh Persatuan Alumni Maktab Kirkby, setelah mengambil masa selama setahun untuk membuat penyelidikan, mengumpul bahan-bahan seperti rencana, gambar dan keratin akhbar, menulis, menyunting dan akhir sekali mengadun semua dalam sebuah buku setebal lebih 320 muka surat.

3. Buku dalam bahasa Inggeris ini diberi tajuk “Kirkby College – A Heritage” atau terjemahannya “Maktab Kirkby – Satu Warisan” merupakan kumpulan penulisan bekas pelajar dan juga pensyarah Maktab Kirkby, yang terletak berdekatan Bandaraya Pelabuhan Liverpool. Maktab Latihan Guru aliran Inggeris ini mula melatih guru daripada Malaya pada Januari 1952 dan ditutup pada Disember 1962. Dalam jangkamasa 11 tahun beroperasi itu maktab ini telah berjaya melatih seramai 1,500 guru pelatih (trainee-teachers) dan 405 pelatih guru (teachers-trainers).

4. Saya tidak perlu mendedahkan lebih mengenai buku ini kerana tuan-tuan dan puan-puan boleh membeli dan membaca sendiri selepas majlis pelancaran ini. Memandangkan ia agak tebal maka amat wajar dibuat dalam edisi kulit keras sahaja dan harganya RM200 juga agak berpatutan kerana yang menjadi penentuan harga bukan nipis atau tebal sesebuah buku tetapi persembahan isi kandungan yang memerlukan masa yang agak panjang untuk dibuat kajian.

5. Walau bagaimana pun saya percaya buku ini akan terdapat di semua perpustakaan awam di seluruh Negara kita dan juga di perpustakaan sekolah, maktab dan juga universiti. Pelajar sekolah, maktab dan universiti termasuk mereka yang kurang mampu boleh meminjam daripada mana-mana perpustakaan sekolah, universiti dan juga perpustakaan awam.

6. Memberi pinjam buku kepada rakyat yang tidak mampu merupakan tanggungjawab Kerajaan kerana kita tidak mahu ada rakyat kita yang terhalang daripada membaca karya penulisan yang baik. Setiap tahun Kerajaan membelanjakan ratusan juta ringgit untuk membeli buku import dan juga buku terbitan tempatan, untuk kita pinjamkan kepada rakyat melalui ratusan rangkaian perpustakaan awam yang terdapat di seluruh Negara kita.

7. Masalah Negara kita bukan masalah tidak cukup bahan bacaan (supply) tetapi tidak cukup ramai rakyat yang minat membaca (demand). Saya tidak pasti apakah rakyat Malaysia masih membaca 2 muka surat setahun seperti hasil kajian Profil Pembaca yang dibuat beberapa tahun yang lalu atau sudah meningkat. Jika kita hendak mencontohi rakyat Negara maju maka kita perlu semai Budaya Membaca atau minat kepada buku ini sejak di bangku sekolah lagi. Guru perlu memainkan peranan menanam minat membaca di kalangan murid, umpamanya memberi tugasan membaca 2 buku cereka dan bukan-cereka (fiction and non-fiction) pada musim cuti sekolah dan menyerahkan laporan resensi buku apabila sekolah dibuka semula.

8. Selain itu pihak maktab perguruan dan juga universiti perguruan seperti UPSI juga perlu memainkan peranan membentuk guru yang minat membaca. Guru perlu memiliki pengetahuan yang luas kerana mereka merupakan pemimpin di sekolah dan juga pemimpin dalam masyarakat. Mereka merupakan contoh ikutan (role model) dan pemimpin pendapat (opinion leaders), mereka menjadi rujukan masyarakat khususnya di kawasan kampung. Maka itu guru perlu banyak membaca dan berusaha untuk berkongsi apa jua maklumat yang diperolehi dengan anak murid dan juga ahli masyarakat.

9. Sejak dahulu sehingga sekarang saya percaya golongan guru merupakan golongan yang banyak membeli bahan bacaan – baik akhbar, majalah dan juga buku – dan seringkali terdapat perpustakaan mini di rumah mereka. Malah mereka gembira dengan koleksi majalah dan buku mereka. Guru-guru yang mengajar di kawasan pendalaman pula seringkali koleksi peribadi mereka menjadi tumpuan murid-murid yang gemar membaca untuk meminjam buku. Saya yakin ramai daripada mereka yang berjaya pada hari ini terhutang budi kepada guru yang sentiasa menggalak mereka membaca buku.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

10. Saya dimaklumkan antara Objektif majlis Grand Reunion Alumni Maktab Kirkby ialah:

¨ Mengimbau kembali kerjasama pendidikan dua Negara (Malaya dan England) dalam projek Maktab Kirkby (1951 – 62) yang dapat dijadikan model rujukan bagaimana kerjasama bilateral pendidikan merentasi sempadan (cross border) dapat menjayakan pemindahan ilmu dan kepakaran mengajar (transfer of teaching skills) dari Negara maju (England) kepada negara membangun, yang memberi kesan meningkatkan lagi taraf pendidikan dan perguruan di Malaya.

¨ Usaha meningkatkan profesionalisma perguruan tempatan dengan mendedahkan pendidik Malaysia kepada kemajuan pesat yang terdapat dalam bidang pengajaran dan pembelajaran (P&P) peringkat antarabangsa melalui Konvensyen Pendidikan Guru dan sebuah EXPO Pendidikan (FACON Education Fair).

11. Saya dimaklumkan bahawa Konvensyen Antarabangsa Pendidikan Guru akan berlangsung pada esok pagi sementara EXPO Pendidikan FACON akan berlangsung pada 6 – 7 Disember 2008. Saya mengucapkan syabas kepada Persatuan Alumni Kirkby dan Bahagian Pendidikan Guru Kemeterian Pelajaran di atas inisiatif mengadakan majlis tersebut.

12. Selain dua acara yang saya sebutkan tadi, pada petang ini saya juga diminta merasmilan Majlis Pameran Bergambar Maktab Kirkby yang akan berlangsung di foyer Auditorium INTAN ini. Pameran ini dianjurkan oleh Muzium Pendidikan UPSI dan sebahagian besar gambar-gambar yang dipamerkan adalah daripada koleksi Galeri Maktab Kirkby yang terdapat di UPSI Tg Malim. Saya dimaklumkan Galeri Kirkby ini telah dirasmikan oleh DYMM Tuanku Bainun pada bulan Ogos 2007. Mengadakan pameran di INTAN ini lebih praktikal kerana tidak ramai bekas pelajar Kirkby dan sanak saudara mereka yang sanggup pergi ke Tanjong Malim.

13. Gambar-gambar yang dipamerkan pada Pameran Bergambar Kirkby merupakan koleksi yang unik kerana ianya telah disimpan dengan baik selama lebih 50 tahun. Memandangkan Maktab Kirkby secara fisikal sudah tiada lagi kerana tempat tersebut telah bertukar menjadi kawasan perumahan awam, alumni Kirkby amat bertuah kerana kumpulan kenangan atau memori (collective memory) Maktab Kirkby kini disimpan dengan baik dalam bentuk gambar photo, lukisan dan dalam buku “Kirkby College – A Heritage”. Di sini saya ingin memuji usaha Persatuan Alumni Maktab Kirkby yang telah dapat memelihara (preserve) dan memulihara (conserve) sebahagian daripada sejarah pendidikan negara yang penting, untuk tatapan generasi akan datang.

14. Pun begitu, saya berpendapat Kerajaan melalui Muzium Negara dan Arkib Negara perlu terlibat sama dalam memelihara dan memulihara sejarah pendidikan negara kita. Saya dimaklumkan masih banyak artifek Maktab Kirkby yang ditinggalkan di Liverpool dan artifek ini perlu dibawa balik kerana mempunyai nilai sejarah yang berharga. Sebagai contoh YTM Tunku Abdul Rahman telah membuat pengumuman Kemerdekaan Malaya yang pertama di Maktab Kirkby pada 7 Februari 1956 dan tentunya terdapat gambar atau filem mengenai peristiwa bersejarah ini di UK yang perlu kita perolehi dan simpan. Begitu juga cerita lisan atau “oral history” bekas pelajar Maktab Kirkby perlu dirakam untuk menjadi rujukan di masa hadapan. Projek ini perlu dilakukan segera kerana saya dimaklumkan pelajar batch pertama Kirkby kini sudah lebih 80 tahun dan batch akhir kini berumur hampir 70 tahun.

15. Satu perkara penting yang terlepas pandang oleh Jabatan Muzium ialah mengadakan sebuah Muzium Pendidikan di negara kita. Tanpa sebuah muzium yang khas untuk menyimpan segala khazanah pendidikan maka hari demi hari banyak artifek pendidikan telah hilang ditelan zaman. Umpamanya papan batu, kalam batu, buku-buku dan kitab-kitab lama, mesin cyclostyle, kini sukar diperolehi lagi. Malah beberapa bangunan sekolah lama yang mempunyai nilai sejarah telah dirobohkan dan diganti dengan bangunan sekolah baru. Jika tidak ada usaha terancang untuk memulihara segala warisan pendidikan ini lama kelamaan tidak ada apa lagi yang tinggal dari segi sejarah pendidikan negara.

16. Saya dimaklumkan Tan Sri Yahaya telahpun menghantar satu kertaskerja mengenai Muzium Pelajaran Negara ini kepada Kementerian saya dan juga Kementerian Pelajaran. Pihak Kementerian saya telahpun mengadakan mesyuarat dengan Tan Sri dan juga wakil Muzium UPSI mengenai perkara ini. Saya dimaklumkan oleh Tan Sri bahawa Kementerian Pelajaran telah bersetuju untuk membina Muzium Pelajaran ini yang mana mungkin akan diumumkan oleh YB Menteri Pelajaran pada esok hari. Bagi menjayakan projek Muzium Pelajaran Negara ini pihak Kementerian saya khasnya tiga agensi di bawahnya yakni Muzium Negara, Arkib Negara dan Perpustakaan Negara, akan tampil untuk memberi khidmat nasihat profesional.

Tuan – tuan dan puan – puan sekalian,

17. Di Malaysia, setakat ini kita mempunyai lebih 150 buah muzium di bawah seliaan Jabatan Muzium Malaysia, kerajaan negeri, persendirian, dan pihak swasta. Saya dimaklumkan bahawa menurut statistik pelawat bagi program ”Kunjungilah Muzium” pada tahun 2007, terdapat 2,018,058 jumlah pelawat secara keseluruhan di mana sejumlah 1,403,571 pengunjung adalah pelawat tempatan, 244,310 pelajar tempatan dan 370,177 pelawat luar negara. Bagi program yang sama dalam tempoh Januari hingga Mac 2008, jumlah keseluruhan pelawat setakat ini adalah 452,234 orang.

18. Angka 150 itu pada kita mungkin agak banyak tetapi sebenarnya ianya agak kecil jika kita dimaklumkan bahawa terdapat lebih 8,000 buah muzium di Amerika Syarikat, 2,200 buah muzium di Kanada dan lebih 1,000 muzium di negara China. Selaras dengan itu kita perlu menambah jumlah muzium di negara kita dan saya juga melihat satu tren yang baik di mana hampir setiap universiti di negara telah membina muzium sendiri seperti Muzium Pendidikan di UPSI, Muzium Marin di UMS Sabah, Muzium Seni Asia di Universiti Malaya, Muzium Tuanku Fauziah di USM dan banyak lagi. Sebagai contoh peranan Muzeum USM adalah seperti berikut:

ROLES OF MUZIUM & GALERI TUANKU FAUZIAH (MGTF), USM, PENANG.

1. Collecting, preserving, documenting and exposing Malaysia's scientific and cultural heritage
2. Providing a sustainable teaching & learning space for students from USM, other universities, colleges, schools and the public at large
3. Providing a space for research in various disciplines of science-technology and arts-culture
4. Planning and organising prolific and beneficial programmes for visitors and communities

Tuan – tuan dan puan – puan sekalian,

19. Secara umum, peranan muzium di Malaysia tertumpu kepada perkembangan dua (2) aspek utama ; iaitu pertama, dalam aspek pendidikan dan kedua, dalam aspek pelancongan. Dalam aspek pendidikan, muzium memaparkan warisan negara dengan cara penyelidikan, pemeliharaan, pemuliharaan dan penyebaran maklumat kepada masyarakat. Muzium di negara kita juga berperanan menjadi salah satu pusat pengenalan identiti masyarakat rakyat Malaysia berbilang bangsa dan saling memahami adat dan budaya masing – masing.

20. Dalam aspek pelancongan, muzium di Malaysia berperanan menjadi satu destinasi yang menarik dan informatif bagi para pelancong tempatan dan luar negara. Kita tidak boleh bergantung sangat kepada pelancong luar kerana pelbagai faktor yang menghalang kedatangan mereka seperti kejadian 9/11 dan juga krisis ekonomi. Kita perlu membina kekuatan dalaman dan mendidik generasi muda untuk meminati dan melawat muzium, maka itu pelancongan pendidikan (edu-tourism) perlu dikembangkan di sekolah-sekolah. Pelajaran melalui melihat sendiri contoh di muzium adalah lebih berkesan daripada membaca buku semata-mata.

Tuan – tuan dan puan – puan sekalian,

Akhir kata, saya ingin merakam Tahniah kepada pihak Persatuan Alumni Maktab Kirkby yang telah menerbit buku “Kirkby College – A Heritage” dan saya minta persatuan-persatuan dan NGO yang lain dapat juga menerbitkan buku kerana kita amat kurang buku yang diterbitkan dalam negara. Kerajaan perlu mengurangkan aliran wang keluar membeli buku import yang cukup mahal dan saya minta penerbit tempatan lebih produktif lagi.

Saya juga mengucapkan Tahniah kepada Muzium Pendidikan UPSI yang telah membawa Pameran Galeri Kirkby ke INTAN supaya dapat dilihat oleh khalayak yang lebih ramai. Saya berhrap pihak Muzium Negara dapat mengadakan kerjasama dengan Muzium UPSI supaya pameran ini dapat diadakan di Muzium Negara pada masa yang akan datang.

Dengan kalimah ’Bismillah-Hirrahman-Nirrahim’, saya dengan ini melancarkan buku “Kirkby College – A Heritage” dan rasmikan Pameran Bergambar Maktab Kirkby, sempena Kirkby Grand Reunion 2008.

Sekian.

No comments: